Powered By Blogger

Minggu, 26 Februari 2012

Benarkah penemuan sains moden membuktikan al-Quran benar?

,
Menangkis Keraguan
PENEMUAN-PENEMUAN saintifik masa kini banyak menampakkan keunggulan al-Quran. Terdapat banyak ayat berkaitan dengan alam dan sains di dalam al-Quran yang baru difahami maknanya pada hari ini. Antaranya ayat yang berkaitan dengan sifat alam semesta yang mengembang.
Allah berfirman dalam surah az-Zariyat ayat 47: Dan langit Kami bangun dengan kekuasaan Kami dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya.
Berhubung dengan ini as-Syeikh Said Hawa di dalam kitabnya al-Asas fit Tafsir berkata: “Maksud ayat ini adalah, Allah menjadikan langit dalam keadaan terus-menerus mengembang. Ia juga bermaksud kejadian alam. Ia menunjukkan ilmu al-Quran amat jauh ke hadapan, melampaui ruang dan zaman. Apabila ada manusia yang menolak al-Quran kerana menyangka dirinya maju dengan pengetahuan sainsnya, eloklah dia menilai semula dirinya sebelum terlambat.”

Pada hari ini, tokoh-tokoh sains menemui bukti-bukti sah yang menunjukkan alam semesta ini tidak statik, sebaliknya terus membesar dan mengembang.
Pada tahun 1929, tokoh astronomi dari Amerika, Edwin Hubble, dengan menggunakan teknologi canggih, mendapati alam ini sebenarnya sedang mengembang. Beliau mendapati semakin jauh jarak sebuah galaksi dari bumi, semakin cepat proses pengembangannya.
Pada bulan September tahun 1996, satu kenyataan akhbar dikeluarkan berhubung dengan teori pengembangan alam.
Dua kumpulan yang terdiri daripada tokoh-tokoh sains antarabangsa yang membuat kajian mengesahkan kebenaran teori ini.
Malah mereka berjaya mengukur kelajuan pengembangan alam ini, sekali gus membenarkan firman Allah tersebut.
Contoh kedua adalah berhubung asal usul kejadian alam. Dalam surah al-Anbiya ayat 30, Allah berfirman Apakah orang-orang kafir tidak melihat bahawa sesungguhnya langit dan bumi pada asalnya adalah bercantum sebagai satu, kemudian Kami pisahkan kedua-duanya.
Berhubung dengan ayat ini, di dalam al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qartubi meriwayatkan : “Ibn Abbas, al-Hasan, `Atha, ad-Dahhak dan Qatadah berkata: “Ayat ini bermaksud kedua-dua langit dan bumi pada asalnya adalah satu yang melekat lagi bercantum, kemudian Allah pisahkan di antara kedua-duanya dan dijadikan antara kedua-duanya udara.”
Pandangan ini selari dengan teori kejadian alam yang diterima pakai pada hari ini iaitu teori `Big Bang’. Mengikut teori ini, alam ini pada asalnya bercantum padu, kemudian berlaku satu letupan yang kuat 10 hingga 20 bilion tahun dahulu.
Letupan ini menghasilkan proses pengembangan dan penyejukan, disusuli dengan kelahiran bintang-bintang, galaksi dan cakerawala.
Pada tahun 1929, Edwin Hubble menemui bukti-bukti kukuh yang menyokong teori `Big Bang’ ini.
Penemuan ini diperkukuhkan lagi oleh pakar-pakar astrofizik dari Amerika, Arno Penzias dan Robert Wilson pada tahun 1965 selepas mereka mengukur tahap radiasi yang wujud di angkasa raya.
Penemuan ini kemudiannya disahkan oleh pakar-pakar sains dengan menggunakan alat pengesan khas NASA yang bernama COBE spacecraft antara tahun 1989 hingga 1993.
Kajian-kajian terkini dari makmal CERN yang terletak berhampiran dengan Geneva menguatkan lagi teori `Big Bang’.
Semua ini mengesahkan bahawa langit dan bumi suatu masa dahulu bercantum padu sebelum dipisahkan .
Hakikatnya difahami pada abad kedua puluh ini, sedangkan Allah menceritakan tentangnya 1425 tahun dahulu.
Justeru, al-Quran bercakap bahasa hari ini secara saintifik sehingga mengagumkan ramai tokoh sains seperti Dr. Gary Miller.
Beliau adalah pakar matematik di samping tokoh dalam bidang ilmu teologi Kristian. Pada tahun 1978, beliau dihadiahkan sebuah al-Quran terjemahan bahasa Inggeris dan selepas membaca terjemahan al-Quran itu beliau memeluk agama Islam.
Dalam tulisannya yang bertajuk The Amazing Quran beliau berkata: “Al-Quran boleh dikaji secara saintifik kerana ia mengutarakan sesuatu yang tidak diutarakan oleh kitab-kitab agama lain secara amnya.
“Malah al-Quran mampu menyahut cabaran ahli-ahli sains. Konsep sains pada hari ini ialah satu konsep yang memerlukan bukti. apabila ada orang mengutarakan suatu teori, pakar-pakar sains tidak akan memperdulikannya melainkan jika ia disertakan dengan bukti dan sanggup melalui beberapa ujian yang saintifik.
“Al-Quran sebenarnya sanggup diperlakukan seperti itu untuk membuktikan bahawa ia adalah benar. Seribu empat ratus tahun sudah berlalu dan tidak ada sesiapa pun yang mampu membuktikan kepalsuan al-Quran, justeru al-Quran adalah sebuah kitab yang hak lagi benar.”
- Dengan kerjasama PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.
Sumber : Utusan Online 08/10/2004

Tidak ada komentar:

Posting Komentar